Tuesday, June 30, 2009

Apa itu Fizik?

Tidak ada jawapan ringkas atau lengkap bagi soalan ini. Orang yang berlainan latarbelakang akan memberikan jawapan yang bebeza sesuai dengan pengalamannya berinteraksi dengan Fizik. Malahan, kamus yang berbeza akan memberikan makna yang sedikit berlainan antara satu sama lain. Kebanyakan buku teks Fizik tidak memberikan takrif bagi Fizik tetapi sekadar memberikan ciri-ciri Fizik sebagai satu disiplin ilmu.

Berikut adalah beberapa contoh bagi menerangkan pernyataan di atas:

1. Kamus Dewan: Cabang ilmu sains yang mengkaji sifat-sifat jirim dan tenaga dan perkaitan antara semua unsur ini.

2. Chambers Concise 20th Dictionary: Sains sifat-sifat jirim dan tenaga.

3. Hutchinson 20th Century Encyclopedia: Cabang sains mengenai hukum-hukum yang muktamad mengenai struktur alam semesta dan bentuk-bentuk jirim dan tenaga dan interaksinya.

4. Kebanyakan ibu-bapa: Satu mata pelajaran peperiksaan SPM. (Ini agakan Pak Hj saja)

5. Pelajar tingkatan empat: Satu mata pelajaran mengenai daya dan gerakan. (Ini pun agakan Pak Hj juga)

6. Daripada wikipedia: Fizik (Greek: physis - φύσις bermaksud "alam") adalah sains alam semulajadi; satu kajian tentang jirim dan gerakannya melalui ruang-masa dan semua yang terbit daripadanya seperti tenaga dan daya. Secara umumnya, fizik adalah analisis tentang alam yang dilakukan untuk memahami kelakuan dunia dan alam semesta.

Pendapat Pak Hj sendiri: Fizik adalah satu disiplin ilmu tentang alam fizikal yang dibangunkan secara sistematik melalui kaedah cerapan empirikal. Kesemua yang Pak Hj huruf condongkan itu membawa maksud Fizik adalah satu lompokan ilmu dan cara mencari ilmu yang bersifat dinamik.

Tentang blog ini

Anak-anak sekolahan yang diraikan,

Blog ini Pak Hj dedikasikan kepada mata pelajaran Fizik pra-universiti (SPM, STPM, Matrukulasi). Dengan ilmu yang tak seberapa, Pak Hj ingin turut serta memapankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains. Pak Hj sedar bahawa ini zaman PPSMI tetapi Pak Hj tetap juga mahu menggunakan BM bukan kerana degil tapi kerana Pak Hj sedar di luar sana masih ramai anak-anak yang terkial-kial mempelajari sains dalam Bahasa Inggeris. Kalau mahu dikatakan Pak Hj tak mahir BI pun Pak Hj terima kerana Pak Hj ni dah lah berasal dari kampung terceruk bersekolah pun di sekolah aliran kebangsaan aja.

Sesuai dengan judul blog ini, Pak Hj gunakan laras bahasa orang bersembang aja. Seboleh-bolehnya Pak Hj mengurangkan penggunaan rumus walaupun kita semua sedar bahasa sains ialah matematik, iaitu rumus matematik. Iya ler, rumus seperti p + (1/2) (rho)v^2 + (rho)gh = pemalar jauh lebih tepat menjelaskan prinsip Bernoulli berbanding ayat yang berjela-jela baik dalam BM atau BI.

Nota yang Pak Hj tulis ni hanya semua yang ada dalam fikiran Pak Hj tanpa merujuk apa-apa buku. Kalau berminat, anak-anak boleh lah tulis komen atau bertanya, Pak Hj akan cuba layan. Nak gunakan BI pun boleh gak. Kalau perlu Pak Hj akan buka balik buku lama Pak Hj tu.

Pak Hj JB

Terkini:

Julai 13, 2009: Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan akan membatalkan pelaksanaan PPSMI mulai 2012.